Pages

Subscribe:

30 Oktober, 2009

Peniaga air tebu didakwa

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my



A. Murugan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, semalam untuk didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian pembantu rumahnya, Mantik Hani warga Indonesia. – utusan/Saharuddin Abdullah

KLANG 30 Okt. – Empat hari selepas Mantik Hani meninggal dunia dipercayai angkara perbuatan keji majikannya, seorang penjual air tebu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia itu.

A. Murugan, 35, didakwa membunuh wanita berusia 36 tahun itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa di sini di antara 18 dan 20 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada majikan lelaki mangsa itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Afifah Mamat @ Yusof.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup manakala peniaga terbabit tidak diwakili peguam bela.

Manoj memohon supaya kes tersebut dipindahkan segera ke Mahkamah Tinggi atas alasan kes itu menarik perhatian umum.

Permohonan itu dibenarkan oleh Afifah yang menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membolehkan pengakuan tertuduh direkodkan.

Isteri dan ibu Murugan yang sebelum ini turut ditahan reman tidak didakwa di mahkamah selepas dibebaskan oleh pihak polis.

Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, pada pukul 10 pagi, 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan kerana terlalu lemah.

Ketika diselamatkan dari rumah majikannya, pada 21 Oktober lalu, pembantu rumah terbabit berada dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' dan dikurung dalam tandas, kepala dicukur hampir botak dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya.

Wanita itu diselamatkan pihak polis selepas seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek membuat laporan polis bersama peguam, Gerald Lazarus.

Semasa diselamatkan, terdapat kesan kecederaan teruk di beberapa bahagian badan mangsa termasuk luka hampir lima sentimeter sehingga menampakkan tulang pada kakinya.

Selain itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kiri termasuk bengkak pada bahagian muka, dipercayai dipukul dengan objek keras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.