12 Disember, 2010
[hang nadim] ‘Taubatlah Azmin’
UMI HAFILDA ALI
Ummi Hafilda Ali yang pernah menggemparkan negara kerana mendedahkan salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997 merayu abangnya, Azmin yang kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pulang ke pangkal jalan dan bertaubat.
Ummi Hafilda, 42, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berkata, beliau membuat seruan itu setelah melihat banyak hipokrasi, penyelewengan, pembohongan serta salah laku melibatkan abangnya itu.
Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai adik yang secara tidak langsung tahu rahsia-rahsia di dalam lingkungan mereka untuk memperbetulkan keadaan agar tidak terus menanggung dosa.
'Jangan tipu rakyat, jangan tipu bangsa sendiri. Wahai Azmin pulanglah ke pangkal jalan. Bertaubatlah sekurang-kurangnya takutlah pada Allah, malulah kepada para malaikat.
'Kepada Anwar dan Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) juga saya pohon perkara yang sama. Bagaimana hebatnya kita sekalipun, Allah mengetahui kebenaran. Jangan nanti mereka ditimpa bala semasa di dunia lagi. Perjuangan saya tidak akan berhenti setakat ini sahaja.
- UMMI HAFILDA ALI
Adik Azmin Ali.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
'Usah gadai masa depan negara'
Oleh YUSRI SAHAT dan M. SHAHRINAHAR ABD. LATIB
utusanpahang@utusan.com.my
PEKAN 11 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan mempercayai segala janji yang ditaburkan oleh parti pembangkang kepada mereka.
Tegas Perdana Menteri, parti pembangkang terbukti gagal mentadbir negeri-negeri yang dikuasai mereka apabila tidak mampu menunaikan janji yang pernah ditaburkan pada pilihan raya lalu.
Malah kata beliau, pembangkang juga gagal mencapai kesepakatan dalam pakatan yang mereka cipta selama ini.
"Parti-parti pembangkang mempunyai ideologi yang bercanggah antara satu sama lain dalam pakatan yang mereka ciptakan.
"Oleh itu, jangan beri peluang kepada pembangkang untuk memerintah negara ini," tegasnya semasa berucap pada sambutan Deepavali 1Malaysia peringkat Parlimen Pekan di Dewan Majlis Daerah Pekan di sini hari ini.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, sejarah dunia membuktikan bahawa pemimpin yang hanya bijak menabur janji tetapi gagal menunaikannya, akan tersungkur.
"Ramai pemimpin dunia gagal menjadi pemimpin yang baik kerana kegagalan menunaikan janji-janji yang pernah ditaburkan kepada rakyatnya," katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin parti pembangkang tidak akan mampu memerintah negara kerana kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan pakatan mereka.
Beliau menegaskan, hanya BN yang mampu memerintah negara menerusi rekod cemerlangnya sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.
"BN telah membuktikan mampu menunaikan segala janjinya kepada rakyat selepas mencapai kemerdekaan.
"Hanya BN yang boleh membawa Malaysia menjadi negara maju menerusi janji-janji yang realistik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Najib juga berazam akan terus memberikan keadilan kepada semua lapisan rakyat rakyat tanpa mengira kaum supaya negara menjadi makmur dan harmoni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.