Atas sebab itu jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, persiapan, perancangan, kerjasama, eksesais serta perkongsian risikan dan maklumat perlu diperkukuhkan antara negara-negara rantau ini.
Langkah kerjasama itu katanya, akan digerakkan secara proaktif terutama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan ASEAN pada tahun depan dengan memfokuskan kepada pendekatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.
"Landskap keselamatan, ketenteraan global hari ini menuntut kita di Malaysia tidak boleh wujud dalam suasana keseorangan. Dunia tanpa sempadan memudahkan perjalanan pelbagai pihak yang boleh membawa ancaman kepada negara-negara berdaulat dan merdeka. Ini menuntut kita untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkepentingan.
"Kerjasama rapat dengan negara-negara tertentu adalah penting dan isu-isu tidak boleh dipolemikkan, dipolitikkan serta disensasikan sehingga menjejaskan persepsi orang ramai. Dalam konteks hubungan bersama Amerika Syarikat (AS), kebetulan malam ini saya akan berjumpa dengan Setiausaha Pertahanannya, Chuck Hagel lagi untuk berbincang dan mendengar perkembangan di Ukraine, Iraq dan Syria.
"Mungkin perkara yang perlu diberi tumpuan seperti soalan dari Labuan berhubung Sabah dan Sarawak dan Selat Sulu. Ini membawa nilai kepada negara kita yang mempunyai ramai kawan untuk membantu dan tidak melibatkan pertimbangan geopolitik dengan kuasa-kuasa besar yang lain," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin menjelaskan, kementerian kini sedang melihat secara keseluruhannya agenda mempertingkatkan pangkalan-pangkalan dan kem tentera di negara ini bukan sahaja dalam konteks keselamatan dan lokasi tetapi juga kebajikan, perumahan serta keselesaan warga tentera.
Perkara tersebut kata beliau, adalah antara agenda terbesar buat kementerian itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang merangkumi tumpuan terhadap pangkalan-pangkalan dan kem tentera.
"Tetapi menaik taraf kem serta pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) banyak bergantung pada kemampuan kita, ancaman yang terpaksa kita hadapi dan kebajikan anggota kita,'' ujarnya.
Sementara itu, berkaitan cadangan memindah Pangkalan Udara Butterworth, Hishammuddin memberitahu, rancangan tersebut masih dipertimbangkan dan akan diumumkan kelak.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20141010/pa_01/Negara-ASEAN-perlu-mainkan-peranan#ixzz3FhDNRibv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.