Pages

Subscribe:

29 Mac, 2010

[hang nadim] Ahli politik tidak takut Allah, tabur fitnah

Oleh - Norjimi Azmi Latif



Pelik bin ajaib, itulah simpulan yang boleh dilemparkan pada ahli-ahli politik di negara kita yang saban hari menampakkan sifat kebudak-budakan. Mereka menterjemahkan politik bukan pentadbiran untuk memakmurkan rakyat, sebaliknya menjadikan sebagai gelanggang berlaga ayam.

Siapa yang menjadi ayam? Jawapannya ialah kita semua sebagai rakyat. Ahli-ahli politik ini berwadah dengan pelbagai rupa, sama ada peguam, jurutera, doktor falsafah, doktor perubatan, ahli perniagaan dan lain-lain lagi untuk ‘ayamkan’ kita semua.

Mereka bukan sahaja mempermainkan emosi kita dengan isu mahkamah, kononnya biarlah rakyat menentukan Kerajaan Negeri, bukannya mahkamah sedangkan mereka yang beria-ria melantik peguam berlawan di mahkamah.

Tidak terhenti di situ, isu tarik menarik dan lompat-melompat ahli politik dalam Dewan Undangan Negeri membuktikan mereka benar-benar gila kuasa. Boleh dikatakan politik busuk-membusukkan sehingga kini tohmahan dan fitnah dilemparkan sesuka hati untuk musuh mereka.

Rakyat pula keliru apabila ahli politik yang dilantik melalui kertas undi membuat kenyataan demi kenyataan tidak benar bermatlamat memburukkan pihak lawan. Sebenarnya mereka juga mencari pengikut dan pak turut yang boleh menerima bangkai busuk ke perangkap yang dipasang.

Ahli politik di Malaysia sejak tsunami melanda Barisan Nasional (BN) begitu jantan, terutama ketika mengeluarkan pendapat. Mereka tidak perlu menggunakan kepala atau akal yang bernas untuk menyatakan sesuatu. Mereka bukan sahaja berjanji melebihi janji Allah, bahkan mampu untuk memberi keadilan segah dalam al-Quran semata-mata mahu alunan lirik mereka didengari.

Mereka semua tidak takut pada Allah. Itulah rumusan boleh diberikan pada ahli politik apabila ada yang sanggup memfitnahkan musuh mereka. Tidak kira bersongkok, berkopiah berlilit serban setebal bangunan mahupun berserban hitam dan berjubah serta berjanggut melilit badan, mereka semua sanggup menabur fitnah semata-mata mahu menjadikan keharmonian negara berada dalam kucar-kacir.

Apakah matlamat mereka berbuat demikian? Mereka hanya mahukan satu, berkuasa dan menjadi pemerintah. Kuasa menyebabkan mereka seolah-olah memiliki kendi ajaib milik Aladdinmencari kekayaan.

Untuk itu, mereka sanggup melangkah ayat al-Quran yang menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mengamankan dunia ciptaannya serta sentiasa hidup bermaaf-maafan. Begitu juga Sunah Rasulullah SAW dijadikan sapu kaki semata-mata mahu mendapat undi dan menarik orang Islam menyokong perjuangan parti mereka.

Kita sebagai rakyat tidak akan lupa mengenai peristiwa pembunuhan kejam terhadap model Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Dibunuh sebelum dibom menunjukkan sikap manusia sanggup melakukan apa sahaja kerana tidak takut pada pembalasan Allah.

Kisah Altantuya tidak berakhir di situ apabila isunya dijadikan buah mulut ahli politik dengan mengaitkannya dilakukan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur. Golongan yang menabur fitnah ini dengan berani berjihad memberitahu kononnya Altantuya dibunuh kerana cemburu dan suaminya, iaitu Perdana Menteri yang kita sayangi turut diheret kononnya mempunyai hubungan sulit dengan model berkenaan.

Tidak puas lagi, mereka menyebarkan gambar di dalam internet untuk memburukkan keadaan. Apakah yang berlaku setelah fitnah berjaya menyuburkan kebenaran kita semua?

Jawapannya, kita menyucikan hati dengan perasaan benci dan berprasangka buruk pada pemimpin kita yang siang malam keluar negeri mencari pelabur dan mentadbir negara dengan aman.

Fitnah yang ditabur juga mengakibatkan berlaku tsunami, BN hampir karam dan kepimpinan Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) berakhir dengan sekelip mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.