Pages

Subscribe:

28 Mac, 2010

[hann nadim] Pertemuan kukuh hubungan dua negara






BANDARAYA MELAKA - Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa (BPPA), Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM), dan Bahagian Rumah Ku Syurga Ku (RKSK), mengadakan perjumpaan bersama Pemimpin Persatuan Pelajar Indonesia Malaysia bertujuan memantapkan perhubungan dua negara.

Perjumpaan itu turut bermatlamat melahirkan pemuda dan pemudi bersedia memimpin masa depan di samping meningkatkan kualiti dan kapasiti peribadi pelajar.

Pengarah BPPA, Shadan Othman berkata, beliau akan terus membantu pelajar antarabangsa yang belajar di sini ataupun yang membuat program di Melaka selari matlamat Kerajaan Negeri supaya pekerja dan pelajar antarabangsa mendapat perhatian seharusnya.

“Kita tidak mahu mereka berasa janggal dan dipinggirkan apabila berada di sini.

“Melalui program dan aktiviti disediakan ia sekali gus memastikan negeri ini mampu memberikan kepuasan kepada mereka dan tidak mengabaikan tanggungjawab kami biarpun kepada masyarakat luar,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Atase Penerangan dan Sosial Budaya, Kedutaan Indonesia, Widyarka Ryanata; Sekretaris Atase Pendidikan, Kedutaan Indonesia, Wiwik Soejono; Presiden Persatuan Pelajar Indonesia di Malaysia, Abdullah Abbas dan kakitangan Atase Pendidikan, Nasrullah Ali Fauzi.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, beliau mengalu-alukan :kehadiran pelajar Indonesia ke negeri ini.

“Kerajaan Negeri menjaga kebajikan pekerja dan pelajar antarabangsa dengan menubuhkan BPPA JKMM yang dipimpin Shadan.

“Kepercayaan diberikan kepadanya nampaknya membuahkan hasil apabila Shadan berjaya menjalankan pelbagai program bersama pelajar antarabangsa dan memberikan komitmen terbaik kepada kedua pihak,” katanya.

Widyarka Ryanata pula berterima kasih kepada Mohd Ali yang sudi meluangkan masa bersama mereka pada majlis itu.

“Kerjasama daripada Kerajaan Negeri sangat dihargai, dan kami sedar anak-anak Indonesia yang belajar di sini mendapat layanan baik.

“Harapan saya, anak-anak Indonesia yang datang ke sini mampu menguasai adat, budaya dan bahasa Malaysia dengan sebaiknya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.