Pages

Subscribe:

17 Disember, 2010

[hang nadim] Jenazah ADUN Tenang, Sulaiman Taha selamat dikebumikan di Labis















BALU Sulaiman Taha, Noraini Yaakop menyiram air mawar di atas pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Merah, Labis, semalam.

LABIS 17 Dis. - Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Merah di sini hari ini.

Allahyarham Sulaiman meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur awal pagi ini selepas berada dalam keadaan kritikal selama 24 hari akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Allahyarham yang berusia 59 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pukul 1.10 pagi.

Isterinya, Datin Noraini Yaakop dan kesemua tujuh anaknya berada di sisi semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya.

Allahyarham Sulaiman yang juga Ketua UMNO Bahagian Labis dimasukkan ke Hospital Segamat selama dua hari sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri pada 24 November lalu.

Keadaan beliau dilaporkan kritikal pukul 12.45 tengah malam tadi sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Van yang membawa jenazah Allahyarham dari ibu negara tiba rumahnya di Labis Park, di sini pukul 8 pagi.

Sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Merah, di sini pukul 12 tengah hari ini, jenazah Allahyarham disembahyangkan sebanyak dua kali iaitu di rumahnya dan di Masjid Labis.

Antara pemimpin dan sahabat handai yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan serta Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abd. Latiff Yusof.

Turut menziarahi dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham ialah Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; ADUN Bukit Serampang, Tahir Taat dan ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat.

Sementara itu, Noraini memberitahu, Allahyarham meninggal dunia dalam suasana yang tenang.

"Dia seorang yang penyayang walaupun tegas. Rahmat baginya kerana dapat meninggal dunia pada hari yang baik iaitu hari Jumaat," katanya semasa ditemui selepas majlis pengkebumian arwah suaminya di sini.

Anak sulung Allahyarham, Marsila, 33, mengakui walaupun ayahnya nampak garang, sebenarnya beliau seorang yang begitu penyayang dan amat mengambil berat mengenai keluarga mereka.

"Walaupun kehidupannya sebagai wakil rakyat sangat sibuk, ayah akan menggunakan sepenuhnya masa terluang untuk bersama ahli keluarga," katanya.

Marsila memberitahu, sepanjang 24 hari dirawat di Hospital Ampang Puteri, dia dan enam adiknya sentiasa cuba menemani Allahyarham, namun mereka reda dengan ketentuan Allah yang lebih menyayangi ayahnya.

Sulaiman mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Pada pilihan raya 2004, Allahyarham turut memenangi kerusi DUN Tenang selepas menewaskan Mohd. Saim dengan majoriti 5,517 undi.


TPM, isteri rakam takziah

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Datuk Sulaiman Taha yang meninggal dunia tengah malam tadi.

Menurut beliau, pemergian Allahyarham pastinya akan dirasai bukan sahaja oleh anggota keluarga malah kalangan penduduk sekitar Labis, Johor yang telah lama mendapat khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan itu.

"Allahyarham ialah seorang pemimpin yang banyak menabur bakti kepada masyarakat dan negeri sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor,'' katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, beliau dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Kami berharap agar anggota keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

"Doa kami semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga dihimpunkan bersama golongan orang yang soleh,'' jelasnya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.10 pagi tadi akibat komplikasi jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Segamat selama dua hari sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri pada 24 November lalu.

Sulaiman mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada Pilihan Raya Umum 2008 dan menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.